Saturday 6 October 2012

Berkahwinlah, Hindari Fitnah





Jika ditanya pandangan sebilangan masyarakat hari ini mengenai 'perkahwinan awal (muda)', pelbagai jawapan serta respons akan kita dapati. Dari jawapan-jawapan yang kita dapati juga kita dapat melihat pemikirannya dikuasai atau telah terdidik dengan sistem Islam ataupun tidak.
Ada yang berkata: "Zaman dah berubah!"
Kepada mereka ini baiklah dikatakan, kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Zaman hari ini mengajar kita bersandarkan diri kepada tokoh-tokoh pemikir moden yang dilihat sebagai hebat dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Hasilnya, kayu ukur yang telah ditetapkan adalah sejauh mana kejayaan seseorang dari sudut material (banyak harta, duit). Inilah yang dikatakan mentaliti yang telah dijajah sekian lama oleh golongan yang mengajak meninggalkan agama.
Kenapa materialistik semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran?
Kita melihat dan sering mengeluh melihat ramainya pasangan yang bercerai. Punca utama yang dilihat sebenarnya adalah kerana kurangnya agama. Apabila ia jarang atau kurang mendengar ilmu agama, maka jiwanya gagal dibersihkan serta dibentuk. Ini adalah kerana pembentukan insan yang terbaik adalah melalui didikan agama. Suami atau isteri yang benar-benar memahami tanggungjawabnya sebagaimana garis panduan yang telah dibekalkan Al-Quran dan Sunnah, insya Allah akan dapat memandu pasangan tersebut mendapat kejayaan di dalam hubungan rumah tangganya. Saranan-saranan yang lain yang dianjurkan di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti mengajak kepada bersabar serta nasihat menasihati turut membantu di dalam menjayakan hubungan tersebut.
Ini sekaligus menafikan dakwaaan sesetengah orang yang beranggapan kahwin muda akan menjadi punca penceraian awal! Bahkan orang yang lebih matang yang telah berkahwin lama akan tetapi jahil tentang agama akan lebih merosakkan institusi kekeluargaannya.
Kita mendengar ada yang beralasan: "Kahwin bukan semata-mata seksual!"

Kepada mereka ini dikatakan, benar memang ia bukan semata-mata seks, akan tetapi seks menjadi salah satu sebab dan intipati terbesar di dalam suatu perkahwinan. Bahkan kita juga boleh mengatakan di antara faktor perkahwinan yang berjaya adalah apabila kedua pasangan suami isteri mempunyai hubungan seksual yang harmoni.
Sebilangan masyarakat yang mengutamakan adat dan tradisi dilihat meletakkan garis tertentu yang perlu dicapai oleh anak-anak mereka sebelum dibenarkan untuk mendirikan rumah tangga. Hasilnya kita melihat semakin lama semakin sukarnya untuk berkahwin serta umur berkahwin pada masa kini semakin lewat berbanding pada masa lampau.
Rata-rata beralasan agar ia tidak menyusahkan anak-anak mereka kelak. Golongan sebegini melihat kemudaratan pada masa hadapan sebagai satu musibah akan tetapi mereka masih boleh menerima pada masa ini jika anak mereka bercinta, keluar berdating dengan pasangannya, berpegangan tangan atau lebih dahsyat lagi jika anaknya sudah menjejaki ke lembah penzinaan. Kemungkaran sebeginilah sebenarnya satu musibah yang perlu dibendung terlebih dahulu. Soal rezekinya di masa hadapan serahkan kepada Allah SWT. Bahkan kita dianjurkan agar bantu-membantu dan bukanlah bermaksud lepas kahwin, "kau punya pasal. Jangan cari mak bapak dah!" dibudayakan. Konsep ini lah sebenarnya konsep yang salah.
Mungkin juga adanya ibu bapa yang mengatakan, "nak bercinta pun kami tak bagi!". Ketahuilah menghalangi diri anaknya untuk bercinta suatu benda yang boleh dikawalnya akan tetapi menghalangi hati anaknya yang mencintai seseorang bukanlah di dalam kawalannya. Perkara ini apabila ia sudah melarat boleh mengakibatkan perkara yang lebih dahsyat. Sebaiknya, rasa cinta anaknya itu diberi panduan sebaiknya agar ia tidak tersesat jalan serta terpedaya dengan tipu daya dunia dan syaitan.
Ramai orang yang telah membincangkan halangan-halangan yang dihadapi oleh anak remaja yang ingin mendirikan rumah tangga. Rata-ratanya adalah kerana terlalu menjaga status keluarga yang menganggap jika kahwin awal akan menyebabkan tercemarnya maruah keluarga kerana anak tersebut mungkin dianggap telah rosak atau sebagainya. Akan tetapi, ingatlah jangan kerana terlalu menjaga perkara ini sehinggakan tanpa disedari anak-anak ini sudahpun melakukan kemaksiatan.
Adanya satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar dan pensyarah yang membuat survey aktiviti seksual di kalangan pelajar sekolah dan lokasinya adalah di sebuah negeri di Malaysia. Dan usah terkejut kerana kebanyakan yang mengakui sudah melakukan seks mengatakan mereka telah melakukannya sejak usia 15 tahun. Bahkan ada yang lebih awal lagi iaitu seawal 12-13 tahun. Bukankah ini suatu keadaan yang sangat menakutkan?
Buat para ibu bapa, saya tidak mahu membuatkan anda berasa curiga dengan anak anda. Akan tetapi permasalahan ini wajar diberi perhatian oleh ibu bapa. Komunikasi, keprihatinan serta hubungan yang baik dapat membantu hubungan anak dan ibu bapanya. Didikan agama seawal yang mungkin haruslah diterapkan kepada anak-anak dan kahwinkan lah segera apabila telah mencapai usianya agar mereka terhindar dari fitnah dunia.


4 comments:

Papaglamz said...

Dah nak kawen ker?? hehehe

jom follow Tinta Merah ---->

http://tintamerah4488.blogspot.com/

Nurul Zafirah said...

@TintaMerah insyaAllah :) doa2kan ye..

Papaglamz said...

aminn..

Nursha said...

all the best my dear!!

be my follower if you like my blog..don't forget to comment! I'll respond to person who be kind with me :-) http://nurainishahroni.blogspot.com/